Cahaya Rejab: Israk Mikraj berlaku kepada jasad, roh Rasulullah
Bagaimanapun, ada umat, terutama yang lemah keimanannya kepada Allah, rasul dan khabar ghaib sukar mempercayainya. Sebaliknya, orang beriman terus percaya tanpa soal selidik kerana mereka sedar semua itu adalah atas kehendak dan kekuasaan Allah.
Apa yang Allah kehendaki terus menjadi (kun fayakun); tiada siapa pun boleh menghalangnya. Semua kita milik Allah, masa milik Allah, tempat milik Allah, ruang milik Allah malahan apa yang terlintas di hati kita juga milik Allah.
Hakikatnya kita tidak memiliki sesuatu. Saidina Abu Bakar apabila diberitahu mengenai keganjilan yang berlaku dalam peristiwa Israk dan Mikraj, serta merta berkata jika pengakuan itu datang daripada Nabi Muhammad, Baginda 100 peratus yakin dan percaya, bukan setakat peristiwa Israk dan Mikraj, malah lebih daripada itu pun baginda akan yakin.
Semua ulama berijmak bahawa peristiwa Israk dan Mikraj berlaku kepada Rasulullah secara jasad dan roh.
Peristiwa itu berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah.
Pada malam itu, Rasulullah sedang tidur (tidur-tidur ayam) bersama bapa saudaranya, Hamzah dan Jaafar bin Abu Talib.
Tiba-tiba Jibril datang bersama Mikail serta malaikat lainnya. Jibril memerintahkan malaikat lain mengangkat Rasulullah ke suatu tempat. Di situ, Jibril membelah dada Rasulullah hingga ke bawah pusatnya.
Selepas dada Rasulullah dibelah, Jibril memerintahkan Mikail membawa satu batil air zam-zam untuk menyucikan hati Baginda supaya luas dadanya. Selepas itu, ia pun mengeluarkan jantung Baginda dibasahi dengan air zam-zam sebanyak tiga kali.
Darah hitam dalam dada Rasulullah dikeluarkan. Darah itu adalah sebahagian daripada syaitan.
Setelah itu, Jibril menuangkan satu batil daripada emas yang penuh hikmat dan iman ke dalam dada Rasulullah hingga dada Baginda penuh dengan hikmat, ilmu, keyakinan dan keIslaman yang sejati.
Kemudian, selepas selesai semuanya, dada itu pun ditutup kembali. Semua proses itu tidak menimbulkan sebarang kesakitan kepada Rasulullah. Sesungguhnya termeterailah Baginda di dua balikatnya dengan Khatam an-Nubuwah.
Kemudian, didatangkan Buraq dari syurga yang berpelana dan bertali. Buraq ialah seekor binatang berwarna putih, saiz badannya lebih besar daripada himr dan lebih kecil daripada barghal. Ia mempunyai empat kaki dan pantas berjalan. Satu langkah ke satu langkah kakinya adalah seumpama sekelip mata memandang.
Apabila ia hendak menaiki bukit, kedua-dua telinganya akan bergerak-gerak dan kedua-dua kaki di belakangnya akan memanjang dan apabila ia turun kedua-dua kaki di hadapannya akan memanjang. Ia juga mempunyai dua sayap.
Ketika Rasulullah mula-mula hendak menunggang Buraq, ia meliarkan diri dan memayahkan tunggangan Baginda. Lalu, Jibril pun meletakkan tangannya pada leher Buraq seraya berkata: "Tidakkah engkau malu wahai Buraq, demi Allah tiada seorang pun menunggang engkau yang terlebih mulia di sisi Allah daripadanya."
Apabila mendengar kata-kata Jibril itu, Buraq pun berhenti bergerak-gerak serta merendahkan dirinya hingga Rasulullah naik ke atas belakangnya.
Tidak berapa lama Rasulullah menunggang Buraq, sampailah Baginda dan Jibril ke suatu dusun yang banyak nahl atau pokok kurma. Jibril menyuruh Rasulullah turun di situ dan solat dua rakaat. Apabila selesai, Jibril bertanya: "Adakah engkau tahu tempat engkau solat tadi?"
Jawab Baginda: "Tidak tahu."
Jibril pun menerangkan bahawa tempat itu ialah Tai`bah iaitu Madinah al-Munawarah.
Perjalanan itu pun diteruskan. Sampailah mereka ke suatu tempat. Seperti biasa Jibril menyuruh Rasulullah solat dua rakaat. Rasulullah menurut suruhan Jibril itu dan apabila selesai, Baginda menunggang Buraq kembali.
Jibril pun bertanya Rasulullah adakah Baginda tahu tempat berkenaan. Seperti tadi juga, Rasulullah menjawab tidak tahu. Kemudian Jibril pun menerangkan bahawa itulah Baitul Lahm iaitu tempat kelahiran Nabi Isa.
Tiba-tiba Rasulullah terlihat Afrit daripada bangsa jin. Ia membawa cembung api menyebabkan mata Rasulullah sentiasa berpaling ke arahnya.
Bertanya Jibril: "Adakah engkau mahu aku ajarkan kalimah untuk menghalau Afrit itu?"
"Ya," jawab Rasulullah.
Jibril pun mengajarkan Rasulullah, kalimah yang berikut:
Maksudnya: “Aku berlindung dengan wajah Allah dan kalimah-Nya yang sempurna, yang kebaikan dan dan kejahatan tidak mengatasinya daripada kejahatan yang turun dan naik ke langit, dan daripada kejahatan apa yang diciptakan di bumi juga yang dimusnahkan, dan daripada kejahatan malapetaka malam dan siang, dan daripada kelihatan penunggu malam dan siang, melainkan yang datang dengan membawa kebaikan, wahai Tuhan Yang Rahman.”
Apabila kalimah ini dibaca, padamlah cembung api Afrit dan rebahlah ia ke atas mukanya. Tatkala selesai Rasulullah membaca, tersungkurlah Afrit
source: Berita Harian Online